Tinta dri admin~

Disclaimer:
Segala posts yang ditulis di dalam ini adalah fictional dan tidak ada kaitan dgn yg hidup atau yg sudah mati. (Well, maybe some do) Everything that were being posted by admin are pretty much my own ideas, and what's going on in my head. (Even if it's unoriginal, admin akan credits the respective owner) So, perbuatan copy paste tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan sama sekali

Selasa, 30 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 5 (Ihsan) Bhg E

Teladan-teladan Ihsan kepada Manusia. 

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa yang (membantu) menghilangkan satu kesedihan (kesusahan) dari sekian banyak kesusahan orang mukmin ketika di dunia maka Allah akan menghilangkan kesusahan (kesedihan) dari sekian banyak kesusahan dirinya pada hari Kiamat kelak. Dan barang siapa yang memberikan kemudahan (membantu) kepada orang yang kesusahan (fakir), nescaya Allah akan (membantu) memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Dan barang siapa yang menutupi (aib) orang Muslim, nescaya Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah akan selalu menolong seorang hamba selama dia (gemar) menolong saudaranya." 
(HR Muslim).
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
    

Isnin, 29 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 5 (Ihsan) Bhg D

Keadaan yang Tepat untuk Berbuat Ihsan. 
  1.  Ihsan Kepada Diri Sendiri
Apabila seseorang hamba mampu mengendalikan dirinya dan mengarahkannya untuk taat kepada Allah SWT serta mengikuti jejak Rasulullah SAW, maka dia telah berbuat ihsan kepada dirinya. Sebab itu, Allah SWT berfirman, "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri." (Al-Isra' [17]: 7) Sesiapa pun yang sentiasa memelihara diri dan mencegah dirinya dari perbuatan maksiat serta menuju kepada ketaatan maka dia benar-benar telah berbuat ihsan kepada dirinya.

      2.  Ihsan Kepada Orang Tua. 

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia Dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak kedua-duanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik." (Al-Isra' [17]: 23)
        
       3.   Ihsan kepada Sanak      Saudara. 

Silaturrahim merupakan salah satu faktor terbesar dilapangkan rezeki dan berkatnya umur (panjang umur). Seperti dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya, "Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan ingin tetap dikenang (kebaikannya) setelah meninggal maka sambungkanlah tali silaturrahim." (HR Al-Bukhari dan Muslim) 

         4.    Ihsan kepada Jiran Tetangga. 

Ibnu Umar dan Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Jibril tidak pernah bosan berpesan kepadaku (agar aku bersikap lemah lembut) dengan tetangga, sehinggakan aku menyangka bahawa dia (Jibril) akan memberinya (tetangga) hak waris." 
(HR Al-Bukhari dan Muslim) 

        5.    Ihsan antara Suami-Isteri. 

  • Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik wanita (isteri) adalah dia yang menyenangkan kamu apabila kamu melihatnya, mentaatimu apabila kamu menyuruhnya, dan menjaga kesucian dirinya dan hartamu saat kamu tidak ada." (HR At-Tabrani; Hadis Sahih) 
  • Bahkan dalam hadis lain baginda bersabda, "(Betapa besar) hak suami yang ada di bahu isterinya, walaupun si suami menderita luka bernanah lalu isterinya menjilatnya, dia belum layak dikatakan memenuhi semua hak suaminya." (HR Ibnu Hibban dan Hakim; Hadis Sahih)

Adapun sikap ihsan seorang suami dan isterinya kepada anak-anaknya, hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya, "Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta tanggungjawab atas orang yang dipimpinnya..." 
(HR Al-Bukhari dan Muslim) 

Berkenaan dengan sikap ihsan seorang suami terhadap isterinya, Rasulullah SAW telah menjelaskan hal itu melalui hadis berikut, "Sebaik-baik kamu adalah dia yang paling baik kepada keluarganya (isterinya), sedangkan aku adalah sebaik-baik kamu daripada keluargaku (isteriku)." (HR At-Tirmizi; Hadis Sahih) 

        6.     Ihsan kepada Masyarakat. 

Salah satu bentuk sikap ihsan kepada masyarakat adalah seorang mukmin berbuat baik kepada orang-orang di sekita tempat tinggalnya, lebih-lebih lagi kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, janda dan ibnu sabil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT, 
"Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat dan tetangga jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri." 
(An-Nisa' [4]: 36).
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
    




Rabu, 24 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 5 (Ihsan) Bhg C

Tingkatan Ihsan. 
Menurut Ibnu Qayyim, ihsan itu memiliki tiga tingkatan:
  1. Ihsan ketika berniat, iaitu dengan cara meluruskan niat sesuai ilmunya, mengukuhkan dengan kemantapan hati, dan memurnikannya saat itu juga. 
  2. Ihsan dalam keadaan apa pun, iaitu berupaya agar semangat berihsan tetap terpelihara, selalu menyala, dan memperbaharuinya sebagai suatu pengukuhan jalan hidup. Adapun yang dimaksudkan dengan pemeliharaan ihsan, iaitu menjaga ihsan tetap ada dalam diri seorang Mukmin dan tidak mengubahnya kerana ihsan dalam keadaan apapun dapat lalu begitu sahaja layaknya awan berjalan. Dan pemeliharaan ihsan tersebut harus dilakukan secara terus-menerus dan tidak boleh terlupa walau sejenak pun. 
  3. Ihsan dalam memanfaatkan waktu, iaitu dengan tidak kehilangan kesempatan sedetik pun untuk bermusyahadah dan tanpa ada seorang pun yang mengusik. Ertinya, konsentrasi kita harus ditumpukan kepada Allah SWT sahaja dan tidak boleh ditumpukan kepada sesuatu yang lain. 
Kedudukan Ihsan. 
Kedudukan ihsan ini adalah inti, roh, kesempurnaan keimanan, dan mencakupi seluruh kedudukan. Salah satu yang menguatkan kedudukan ini ialah firman Allah, "Tidak ada balasan untuk kebaikan (ihsan) selain selain kebaikan (ihsan pula)." (Ar-Rahman [55]: 60)
Menurut Ibnu Abbas dan Ulamak tafsir, maksud kebaikan (ihsan) yang pertama pada ayat di atas adalah mengucapkan kalimah tauhid, iaitu Laa Ilaaha Illallah. Kebaikan (ihsan) yang kedua, maksudnya adalah syurga Allah SWT. 
Sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca ayat tersebut, lalu bersabda, 
'Apakah kamu tahu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?'
Para sahabat lalu menjawab, 'Allah SWT dan rasulNya yang lebih mengetahui.' Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan kepada sahabat apa yang difirmankan oleh Allah SWT pada ayat di atas, 'Apakah ada balasan bagi orang yang telah Aku beri nikmat kepadanya dengan nikmat tauhid, selain balasan syurga?'
Hadis mengandungi isyarat kesempurnaan rasa kebersamaan dengan Allah SWT, muraqabahNya, rasa cinta kepadaNya, pengenalan terhadap zatNya, taubat kepadaNya, dan ikhlas keranaNya dalam melaksanakan seluruh amalan keimanan.
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Ahad, 21 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 5 (Ihsan) Bhg 2

Hakikat Ihsan
Ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW itu bermakna muraqabah dan berbuat ketaatan. Oleh sebab itu, orang yang sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT, dia selalu memperbaiki amalnya. Barangkali itulah pentafsiran daripada firmat Allah SWT yang berikut ini, "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan)." (An-Nahl [16]: 90)
  • Perbezaan antara ihsan dengan in'am (memberi nikmat atau mensejahterakan) adalah ihsan akan dirasakan pelakunya dan orang lain, sedangkan in'am hanya akan dirasakan orang lain. 
Antara Kebaikan (Hasanah) dan Berbuat Baik (Ihsan). 
  • Fairuz Abadi mengatakan bahawa hasanah (kebaikan) adalah istilah yang biasa digunakan untuk mengungkap segala sesuatu yang dapat membahagiakan, seperti nikmat yang diperoleh seseorang dalam jiwa dan jasadnya. Berkaitan dengan hasanah, Allah SWT berfirman, "Jika mereka memperoleh kebaikan mereka mengatakan, 'Ini dari sisi Allah'" (An-Nisa' [4]: 78) 
Kebaikan (hasanah) di dalam ayat ini bererti kesuburan, kelapangan hidup, dan keberuntungan. 
  • Adapun ihsan (berbuat baik) biasa digunakan dalam dua pengertian. Pertama, membantu atau mensejahterakan orang lain. Kedua, memperbaiki perbuatan dan amalan. Hal ini selaras dengan perkataan Ali RA, "Manusia itu keturunan perbuatan baik mereka." Maksud daripada ucapan Ali RA, itu bahawa semua manusia dinisbahkan pada apa yang mereka ketahui dan mereka lakukan. 
  • Hubungan antara hasanah dan ihsan sangatlah jelas. Sesiapa sahaja yang bersikap ihsan kepada dirinya sendiri dengan memurnikan tauhid dan ibadah, serta bersikap ihsan kepada orang lain baik ketika berkata mahupun bertindak, semua itu akan membuahkan kebaikan untuknya, iaitu syurga. Jadi, hasanah dan ihsan diambil daripada perkataan al-ihsan yang membuat seorang hamba berbahagia selama dia menghiasi dirinya dengan ihsan baik di dunia mahupun di akhirat. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Khamis, 18 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 5 (Ihsan) Intro

Definisi Ihsan. 
Dari segi terminologi/istilah
Apabila ihsan bergabung dengan Iman dan Islam maka ia bermakna muqarrabah (merasa diawasi) dan ketaatan. Hal ini selesai dengan pentafsiran Rasulullah SAW tatkala Jibril bertanya kepada Baginda tentang makna Ihsan, Baginda menjawab, "Ihsan adalah hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya, jika kamu tidak dapat melihatNya maka (ketahuilah)  sesungguhnya Dia melihatmu." 
Menurut erti harfiah, iaitu tidak bergabung dengan apa pun, maka bermakna, "Melakukan segala sesuatu yang baik." Makna Ihsan lain seperti dikatakan oleh Jurjani bahawa ihsan adalah, "Melakukan segala sesuatu yang terpuji ketika di dunia dan menjadi seperti diberikannya pahala di hari akhirat."
Manawi berkata, "Ihsan adalah zahir keislaman yang dikukuhkan oleh keimanan batin dan disempurnakan oleh perbuatan baik."
Menurut Raghib, ihsan adalah kebaikan yang mesti dikerjakan. Ihsan mencakupi dua perkara, 
  • Membantu atau mensejahterakan orang lain. 
  • Perbuatan baik seorang hamba, apabila dia mengetahui perkara terpuji lalu dia pun mengerjakannya dengan baik. 
Hal ini sesuai dengan ungkapan Ali RA, bahawa, "Manusia itu keturunan perbuatan baik mereka." Maksud daripada ucapan Ali RA, itu bahawa semua manusia dinisbahkan pada apa yang mereka ketahui dan mereka lakukan. 
Kafawi berkata, "Ihsan adalah perbuatan seorang hamba yang bermanfaat bagi orang lain sehingga membuat dia menjadi lebih baik, seperti memberi makan orang lapar atau pelakunya itu sendiri yang menjadi lebih baik."
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)


Khamis, 11 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud)

All Parts to Chapter Zuhud. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Rabu, 10 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) The End

Cara Berzuhud
Renung-renungkanlah... 
a) Dunia ini adalah bayangan yang cepat punah dan khayalan belaka. Dunia tidak lebih dari gambaran dilukiskan Allah SWT di dalam firmanNya, 
"Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda-gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya, mengagumkan para petani; kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu." (Al-Hadid [57]: 20)
b) Setelah kehidupan dunia ini ada kehidupan yang lebih agung, terhormat dan kekal. Kerana itu, orang yang bersikap zuhud di dunia didorong oleh keinginan yang tinggi untuk meraih kehidupan yang lebih mulia, iaitu akhirat. 
c) Bersikap zuhud di dunia tidak patut menghalangi seseorang dalam meraih bahagian yang sudah ditetapkan untuknya. Keinginan yang meluap untuk meraih dunia tidak membuatnya terdorong untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya. Apabila keyakinan itu tetap di dalam hati seorang hamba maka dia akan hidup damai dan tenteram serta tahu bahawa dia pasti akan meraih bahagian yang telah ditetapkan untuknya. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Isnin, 8 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) Part 5

Cara Mendapatkan Dunia dan Akhirat Sekali gus. 
Ibnu Qayyim berkata, "Orang yang paling sempurna nikmatnya adalah orang dapat merasakan kenikmatan hati, jiwa, dan raga. Dia memanfaatkan kenikmatannya yang halal dengan cara yang tidak akan mengurangi kebahagiaannya di akhirat. Dia tidak terputus menikmati kelazatan mengenal dan mencintai Tuhannya. Dialah orang yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya,
"Katakanlah (Muhammad), 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah disediakan untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang baik-baik?" Katakanlah, 'Semua itu untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, dan khusus (untuk mereka sahaja) pada hari Kiamat..." (Al-A'raf [7]: 32)
Adapun orang yang paling rugi akibat adalah orang yang menggunakan kenikmatan yang dimilikinya untuk hal-hal yang akhirnya menghalanginya dari kenikmatan akhirat. Jika begitu, akan dikatakan kepadanya nanti, 
"... Kamu telah menghabiskan (rezeki) yang baik untuk kehidupan duniamu, dan kamu telah bersenang-senang (menikmati)nya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan, kerana kamu sombong di bumi tanpa mengendahkan kebenaran, dan kerana kamu berbuat derhaka (tidak taat kepada Allah)." (Al-Ahqaf [46]: 20)
Oleh sebab itu, barang siapa yang ingin mendapatkan kenikmatan yang kekal dan kehidupan yang baik maka dia harus menjadikan kenikmatan dunia sebagai perantara untuk meraih kenikmatan akhirat. Hal itu dilakukan dengan cara memanfaatkannya dengan ikhlas kerana Allah SWT, selaras dengan kehendakNya, dan dalam sumpah ibadah kepadaNya.
Adapun orang-orang yang ingin menghindar dari kenikmatan dunia maka sepatutnya dia sentiasa berharap untuk menjadikan segala kekurangan yang dialaminya sebagai faktor penambah kenikmatan jiwa di dunia dengan cara meninggalkan kehidupan dunia demi memperoleh kesempurnaan di akhirat. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul 
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) Part 4

Allah Mencintai Orang yang Zuhud. 
Nabi SAW mengungkapkan bahawa zuhud terhadap dunia merupakan salah satu faktor terpenting untuk meraih cinta Allah SWT. Sahal bin Sa'ad as-Sa'idi RA, meriwayatkan bahawa suatu ketika ada seorang lelaki mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku suatu amalan yang apabila aku mengamalkannya, aku akan dicintai Allah dan semua manusia." Baginda menjawab, "Zuhudlah kamu terhadap dunia nescaya Allah akan mencintaimu dan zuhudlah kamu terhadap apa yang ada di tangan manusia nescaya mereka akan mencintaimu." 
(HR Ibnu Majah; Hadis Sahih) 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Sabtu, 6 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) Part 3

Ajaran Nabi SAW dan Salafus Soleh akan Kenikmatan Qanaah.
Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa di antara kamu yang pada pagi hari di rumahnya merasa aman, fizikalnya sihat, dan memiliki makanan (pokoknya) yang cukup untuk sehari itu maka seakan-akan (semua) dunia telah diberikan kepadanya. (HR At-Tirmizi; Hadis Hasan)
Di dalam hadis lain Baginda bersabda, "Betapa beruntungnya orang yang masuk Islam dan memiliki rezeki yang cukup, lalu Allah membuatkannya qanaah dengan apa yang Dia kurniakan kepadanya. (HR Muslim).
Baginda juga bersabda, "Lihatlah kepada orang yang (darjatnya) berada di bawah kamu dan jangan melihat kepada orang yang darjatnya berada di atas kamu kerana hal itu lebih patut agar kamu tidak mengingkari nikmat Allah atas kamu."
(HR Muslim).
Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa bersikap zuhud pada dunia adalah faktor terbesar yang mendorong kebaikan umat Islam. Baginda menyampaikan hal itu melalui hadis, "Kebaikan generasi pertama umat ini (adalah buah) dari sikap zuhud dan keyakinan. Adapun kehancuran generasi akhir umat ini adalah akibat dari kedekutan dan (banyak) angan-angan. (HR Ahmad; Hadis Sahih).
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Jumaat, 5 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) Part 2

Pembuktian Cinta Akhirat Harus Melalui Zuhud di Dunia. 
Ibnu Qayyim mengatakan bahawa kecintaan pada akhirat tidak akan sempurna jika tidak dibuktikan dengan zuhud di dunia. Adapun zuhud di dunia tidak mungkin berjalan tulus ikhlas, kecuali setelah merenungi dua hal penting berikut ini. 
Merenungi dunia, dunia yang begitu cepat hilang dan begitu hina. Harus bersaing dan tamak untuk memperolehinya serta menanggung kesedihan dan kesukaran untuk meraihnya, tetapi semua itu justeru akan berakhir dengan kehancuran dan dan kehilangan. Setelah itu, sisa yang tertinggal hanyalah penyesalan dan kesedihan. 
Merenungi akhirat; begitu sejahtera, begitu pasti kedatangannya pasti, begitu kekal, serta begitu Agung semua bentuk kebaikan dan kebahagiaan yang ada di sana. Selain itu, merenungi perbezaan kehormatan antara di dunia dan akhirat tentu sangat berbeza Allah SWT berfirman, "Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal." 
(Al-A'la [87]: 17)
Jika sudah merenungi dua hal ini secara sempurna, seseorang pasti akan mendahulukan sesuatu yang menurut akal harus lebih diutamakan. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 4 (Zuhud) Intro

Definisi Zuhud. 
Ibnu Qayyim mengatakan bahawa zuhud bererti terbebasnya hati dari belenggu dunia. Seseorang yang zuhud akan berupaya untuk meraih darjat-darjat akhirat. 
Zuhud berkait rapat dengan enam hal yang menjadi titik tolak kezuhudan seseorang, iaitu harta, penampilan, kepemimpinan, manusia, jiwa dan segala sesuatu selain Allah SWT. 
Meskipun demikian, zuhud bukan bererti menolak kekuasaan atau jawatan. Nabi Sulaiman AS dan Nabi Daud AS, adalah orang yang menyandang gelaran paling zuhud pada zamannya, namun kedua-duanya kaya-raya, menjadi penguasa, dan beristeri ramai. 
Rasulullah SAW jua menjadi orang yang paling zuhud, tetapi Baginda memiliki sembilan isteri. 
Jenis-jenis Zuhud. 
Ibnu Qayyim membahagi zuhud menjadi beberapa jenis seperti berikut ini. 
Zuhud dalam perkara haram. Hukum zuhud ini wajib bagi setiap orang (fardu a'in). 
Zuhud dalam perkara syubhah. Hukum zuhud ini bergantung pada tahap syubhahnya. Jika syubhahnya kuat dan kental, maka lebih hampir kepada wajib. Namun, jika syubhahnya ringan, maka zuhud darinya digalakkan sahaja (mustahab).
Zuhud dari sikap berlebihan dalam halal; zuhud dari perkara yang tidak terlalu penting dalam perkataan, pandangan, pertanyaan, pertemuan dan sama jenisnya; zuhud dari urusan manusia; zuhud dari nafsu yang dapat merendahkannya di hadapan Allah SWT, dan zuhud yang merangkumi semua perkara yang sudah disebutkan, iaitu zuhud dari segala sesuatu selain Allah SWT, dan segala sesuatu yang dapat menyibukkan diri dari mengingatiNya. 
Perbezaan antara zuhud dan warak adalah bahawa zuhud itu meninggalkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat di akhirat, sedangkan warak adalah meninggalkan segala sesuatu yang dikhuatirkan akan menjadi akibat terjadinya mudarat (kerugian) di akhirat. Kerana itu, hati yang sentiasa mengikuti keinginan syahwat tidak layak menyandang gelaran zuhud ini. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)


Rabu, 3 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 3 (Kasih Sayang) Simplified Ver


All links to the posts. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 3 (Kasih Sayang) Part 6

Kasih Sayang Allah Meliputi Segala Sesuatu. 
Jika kita bertanya, "Seluas apakah rahmat Allah yang Maha Esa?" Pertanyaan ini dapat terjawab oleh firman Allah SWT, "...dan rahmatKu meliputi segala sesuatu." (Al-A'raf [7]: 156) 
Rasulullah SAW bersabda, "Seandainya kalian mengetahui kadar rahmat Allah, tentu kalian hanya akan bergantung padaNya." (HR Bazzar; Hadis Sahih) 
Oleh sebab itu, sebesar apa pun dosa kita, kita tidak boleh berputus asa. Hal ini disebabkan dosa adalah salah satu hal dan rahmat Allah SWT adalah hal yang lain. Justeru yang perlu lakukan adalah segera bertaubat dengan memperbanyak amal soleh dan berprasangka baik terhadap Allah SWT. Allah SWT pernah berfirman di dalam hadis qudsi, "Aku menyesuaikan diri dengan anggapan hambaKu terhadapKu. Jika dia beranggapan bahawa Aku baik maka Aku akan baik terhadapnya. Jika dia beranggapan bahawa Aku buruk maka Aku akan buruk terhadapnya." (HR Ahmad; Hadis Sahih).
Allah Menciptakan Makhluk untuk Memenuhi Syurga.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, "Neraka dan syurga kelak akan saling mencela. Neraka berkata, 'Mengapa aku hanya diperuntukkan bagi makhluk yang sombong dan zalim?' Syurga berkata, 'Mengapa aku hanya dimasuki orang yang lemah dan rendah?' Allah SWT kemudian berkata kepada syurga, "Kamu adalah rahmatKu. Denganmu Aku akan merahmati hamba yang Aku kehendaki.' Dia kemudian berkata kepada neraka, 'Kamu adalah azabKu DenganMu Aku akan menjatuhkan azab kepada hamba yang Aku kehendaki.' Setiap neraka dan syurga akan terisi penuh. Neraka tidak akan penuh hingga Allah mendatanginya, baru neraka berkata, 'Cukup. Cukup.' Ketika itulah neraka akan penuh dan penghuninya saling bersentuhan sama lain. Sesungguhnya Allah tidak akan pernah menzalimi satu pun daripada hambaNya. Adapun syurga baru akan penuh ketika Dia menciptakan makhluk lagi (untuk memenuhi ruangan syurga yang masih kosong). (HR Al-Bukhari dan Muslim) 
Penulis hanya dapat berkata, "Maha Suci Engkau. Betapa Engkau Maha Pengasih!" 
Cara Memenangkan Kasih Sayang Allah. 
Jika benar-benar ingin menghiasi diri dengan sifat kasih sayang ini, kita harus mengambil teladan daripada Nabi SAW kerana Baginda telah mengisi seluruh kehidupan dengan kasih sayang. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)

    

Selasa, 2 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 3 (Kasih Sayang) Part 5

Orang-orang yang Didoakan Nabi SAW untuk Memperoleh Rahmat. 
1. Nabi SAW mendoakan orang-orang yang melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum solat Asar. Rasulullah SAW bersabda; "Semoga Allah merahmati seseorang yang melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum Asar." (HR Abu Daud; Hadis Hasan) 
2. Orang yang rajin melakukan qiyamullail dengan solat dan munajat kepada Tuhannya. Orang yang juga membangunkan isteri atau suaminya untuk turut serta solat malam dan memohon keampunan dan rahmat Allah SWT agar turut merasakan doa Nabi SAW dalam sabda Baginda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada kepada seorang lelaki yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat dan membangunkan isterinya agar turut melaksanakan solat. Jika isteri tidak mahu bangun, dia memercikkan air di wajahnya. Semoga Allah juga menurunkan rahmatNya kepada seorang perempuan yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat dan membangunkan suaminya agar turut melaksanakan solat malam. Jika suami tidak mahu bangun, dia memercikkan air di wajahnya." (HR Abu Daud; Hadis Sahih) 
3. Nabi SAW mendoakan orang yang memiliki sifat tolak ansur. Nabi SAW bersabda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada seseorang yang jujur ketika berjalan, jujur ketika membeli, dan jujur ketika menuntut haknya." (HR Al-Bukhari; Hadis Sahih) 
4. Nabi SAW mendoakan orang yang menjaga lisannya dan memanfaatkan lisannya hanya untuk kebaikan. Rasulullah SAW bersabda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada seorang hamba yang jika berbicara, dia mengandungi banyak pahala dan jika diam, dia selamat (dari murka Allah)." (HR Abu Syeikh; Hadis Hasan) 

Hanya Orang Sengsara yang Tidak Memiliki Rasa Kasih Sayang. 
Nabi SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut, kecuali daripada orang yang sengsara." (HR Abu Daud; Hadis Hasan) 
At-Tubbi menjelaskan hadis ini dengan berkata, "Hal ini disebabkan kasih sayang berasal daripada hati yang lembut. Hati yang lembut merupakan tanda keimanan. Barang siapa yang tidak memiliki kelembutan hati maka dia tidak beriman dan barang siapa yang tidak memiliki iman maka dia sengsara." Jadi, kesimpulannya ialah orang yang tidak memiliki kelembutan maka dia sengsara. 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)


    

Isnin, 1 Mac 2021

Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 3 (Kasih Sayang)

Kasih Sayang Rasulullah SAW kepada Binatang. 
Nabi Muhammad SAW tidak hanya menyayangi manusia, tetapi juga menyayangi binatang, termasuk binatang kecil melata. Rasulullah SAW mengajak manusia untuk menyayangi binatang kerana hal itu dapat mendatangkan pahala. Baginda bersabda, "Setiap air yang diberikan kepada haiwan hidup (untuk minumnya mendatangkan pahala." 
(HR Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Ketika ada seekor anjing mengelilingi sumur dan hampir mati kehausan, seorang pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu melepaskan sepatunya dan mengisinya dengar air kemudian dia berikan kepada anjing tersebut. Allah mengampuni dosa-dosa wanita itu kerana tindakan baiknya ini. 
(HR Al-Bukhari dan Muslim) 
Islam juga melarang melakukan kejahatan terhadap binatang. Rasulullah SAW bersabda, "Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka lantaran kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya minuman dan makanan, tidak pula melepaskan dan membiarkannya mencari serangga tanah (mencari makanannya sendiri) hingga mati." (HR Al-Bukhari dan Muslim). 
Rasulullah SAW juga memerintahkan kita untuk berlaku baik terhadap binatang, bahkan pada saat kita menyembelihnya. Baginda bersabda, "Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik dalam setiap tindakan. Bilamana kalian bertempur maka lakukanlah dengan cara yang baik dan apabila kalian menyembelih maka jadikanlah sembelihan tersebut baik pula dengan (cara) menajamkan alat penyembelihannya. Berikanlah rasa selesa pada haiwan sembelihan itu." 
(HR Muslim; Hadis Sahih). 
Kita harus mentaddaburi sikap Rasulullah SAW yang amat menyayangi makhluk hidup, termasuk binatang, sebagaimana tergambar daripada beberapa hadis tersebut.
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)


Ensiklopedia Akhlak Muhammad; Bab 3 (Kasih Sayang)

Kasih Sayang Rasulullah SAW kepada Anak-anak. 
1. Usamah bin Zaid berkata, "Rasulullah SAW pernah mengangkat aku dan mendudukkan aku di atas salah satu peha Baginda dan mendudukkan Hasan bin Ali di atas peha Baginda yang lain. Baginda kemudian memeluk kami berdua seraya berkata, "Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah mereka berdua kerana aku menyayangi mereka." (HR Bukhari; Hadis Sahih) 
2. Abu Qatadah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah sambil mengendong Umamah binti Abu Al-As di bahu Baginda. Jika Baginda rukuk, Umamah diletakkan dan jika Baginda bangun, Umamah digendong lagi. (HR Al-Bukhari dan Muslim) 
3. Siti Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW biasa meletakkan anak kecil lelaki di atas pangkuan dan mengunyah makanan untuk mereka. Jika anak yang digendong itu terkencing di atas pangkuan, Nabi SAW meminta dibawakan sebekas air kemudian memercikkan air itu di bahagian yang terkena air kencing anak itu. (HR Al-Bukhari; Hadis Sahih) 
Peringatan: Di atas hanyalah merupakan dalil dan contoh perbuatan melambangkan kasih sayang Baginda SAW kepada anak kecil. 

Kasih Sayang Rasulullah SAW kepada Bukan Muslim. 
Baginda sangatlah bersedih melihat tindakan orang Musyrik yang tidak mengendahkan ajakan untuk memeluk Islam. 
Firman Allah SWT; 
"Maka barangkali engkau (Muhammad) akan mencelakakan dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran)."
(Al-Kahf [18]: 6)
Al-Hafiz Ibnu Kathir berkata, "Allah SWT menghiburkan Nabi-Nya yang bersedih hati kerana melihat respons orang musyrik yang tidak mahu beriman dan jauh dari hidayah Allah SWT dengan menurunkan firman di atas. 
Makna ayat tersebut adalah, 'Janganlah menyeksa dirimu sendiri dalam kesedihan yang terlalu dalam menyayangi mereka (orang-orang yang tidak mahu beriman). Janganlah kamu luluh dalam kesedihan. Cukuplah bagimu bertugas menyampaikan risalah Ilahi. Barang siapa yang menerima hidayah (mahu diajak untuk memeluk agama Islam), Sesungguhnya keuntungan itu untuk dirinya sendiri. Barang siapa yang berpaling dan menolak, sesungguhnya kerugian itu akan kembali kepada dirinya sendiri.' 
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)