Gerimis masih lagi turun. Orang ramai sudah beransur-ansur pulang. Meninggalkanku sendiri di Tanah Perkuburan Al-Ehsan. Perlahan-lahan aku menunduk. Batu nisan yang masih basah kerana terkena hujan kuusap perlahan. Perlahan bibir mengalunkan Al-Fatihah buat arwah untuk kali yang terakhir. Sentuhan perlahan di bahu membuatkan aku tersentak. Pantas aku menoleh ke belakang. "Sudahlah tu. Kalau kau asyik nak tenung batu nisan tu, bukannya mak kau boleh hidup balik." Tegur Fatehah atau sudah biasa digelar Tehah. Fatehah merupakan salah seorang daripada teman rapatku. Dia acapkali menegur kesilapanku dengan percakapan yang agak terus terang tanpa berkias. Mungkin itulah sebab mengapa aku senang bersahabat dengannya, kerana sikapnya yang tidak suka berpura-pura. Bibirku perlahan mengukir senyuman tawar buat penghuni kubur Al-Ehsan. Sekilas mataku memandang pusara milik arwah ayahku dan arwah Aiman. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.
Perlahan-lahan tubuh mula berpusing menghadap Fatehah yang sedia menunggu sambil memegang payung. Daripada raut wajahnya jelas menunjukkan yang dia kepenatan. Kasihan pula aku melihatnya. Perjalanan dari Jordan ke Malaysia bukannya jauh, malah mengambil masa selama 10 jam! Tambahan pula semalam dia berjaga kerana menghabiskan malamnya menulis tesis. Teringat pula aku pada perbualan kami berdua di mahattah metro tadi. "Kau ni, serius ke nak ikut aku balik Malaysia? Tak payahlah. Kau kan penat. Sepatutnya time-time cuti musim panas macam ni, kau kenalah qada tidur kau tu bahana berjaga semalam." Puas aku membebel. Boleh pula dia jawab, "aku ikut kau ni sebab risau. Nanti tak fasal-fasal kau meraung ke, histeria ke, sebab sedih mak kau meninggal."
Dan kini, nak tak nak aku sedang berada di pintu pagar masjid sambil ditemani oleh Fatehah sudah berura-ura untuk pulang ke rumah. Gerimis yang pada mulanya tadi hanya turun secara rintik-rintik, sekarang sudah mula lebat. Mujurlah masing-masing ada membawa payung, kalau tidak, tentu basah kuyup kami nanti.
SEBAIK sahaja tiba di rumah, aku terus menanggalkan jilbab yang kupakai. Rumah nampaknya sudah beransur-ansur lengang. Majlis pengebumian arwah mak dah selesai, maka yang tinggal sekarang hanya saudara-mara yang terdekat sahaja. Susuk tubuh wanita dalam lingkungan 30-an sedang membasuh tangan di sinki itu kuperhati. “Kak Iffah!” panggilku. Wanita yang menyedari bahawa namanya dipanggil itu pantas menoleh lalu mengelap tangan yang basah. Jelas mimik mukanya menanyakan ‘ada apa?’ Aku menggamitnya mendekatiku. “Bila nak mula masak untuk kenduri arwah?” soalku dengan nada yang perlahan. Bibir Kak Iffah nampaknya mula membentuk senyuman tawar. Dia memegang tanganku erat lalu menggeleng perlahan. “Hazirah tak payahlah masak lagi. Pergilah rehat dulu dengan kawan. Kamu berdua kan, baru sahaja sampai.”
Aku hanya mengangguk tanda faham. Aku bingkas bangun lalu menuju ke bilik di tingkat atas. Dapur ini di tingkat bawah. Sebaik sahaja pintu terkuak, aku terlihat susuk tubuh Fatehah sedang terlena di atas katil. Jet-lagged agaknya, fikirku. Refleks aku mencapai telefon bimbit di atas meja solek. Wajah krew dari Thailand menerpa pandangan. Mataku menyorot pada wajah Ol’ Joe, krew lagenda dari Amerika. Serta-merta ingatanku membayangkan wajah mereka…
“Ladies and gentlemen, we present you… the breakdancing legendaries!” Tepukan gemuruh bergema segenap ruang. Aku menggosok telapak tangan yang terasa sejuk, gementar barangkali. Sentuhan lembut di bahu membuatkan aku pantas menoleh, wajah Aiman menerpa pandangan. Bibirnya mengukir senyuman tawar. “Kau kenapa? Takut? Cuak?” soalnya mengambil berat. Aku menggeleng menjawab pertanyaannya. “Tak ada apalah. Jom!” Aku menggamitnya lalu kami berjalan beriringan keluar ke pentas.
Bunyi sorakan penonton bercampur pula dengan bunyi muzik membuatkan suasana bertambah bising. Aku sedaya upaya cuba untuk mengekalkan ekspressi wajah selamba. Ketua krew kami, T.I.P. selalu berkata, “A handsome man is the one who does not fall in love. Girls are to be valued, so respect the untouchables. But you can have fun with them, if you want to.” Sejujurnya aku pun tak berapa nak setuju dengan kenyataan tu, tapi nak buat macam mana, dah tu pendapat dia. Masing-masing ada pendapat sendiri, dan kalau nak diikutkan hukum manusia, kita mestilah menghormati pendapat tersebut. Ya tak?
AKU bersandar lesu pada kerusi plastik yang keras, tetapi dalam keadaan penat macam ni, kerusi keras pun tidak menjadi hal, asalkan ada tempat untuk melepaskan penat. Botol mineral yang dibaling dek Ol’ Joe kusambut dengan tangan kiri. Air mineral kemudian kuteguk dengan rakus sampai tinggal separuh daripada isi yang asal.
“Bro, tired?” tegur satu suara. Refleks aku menoleh, kelihatan Ol’ Joe dan Ked sedang berdiri di kananku. Aku pantas bangun dan mengangguk mengiyakan. Harap-haraplah sebentar lagi T.I.P. cakap latihan dibatalkan. Nyata kini aku terlalu penat, dalam kepala kini hanya tergambar bayangan pancuran air dan katil yang menyenangkan. Tapi aku rasa dalam keadaan genting macam ni, selalunya T.I.P. akan jadi cengil. Mana taknya, krew kami kalah apabila berentap dengan krew dari Korea Selatan. Mereka itu memang terkenal kalau dalam bab-bab b-boying ni, selalu rekrut johan. Penghabisannya, kami anak buah inilah yang selalu jadi mangsa dera kalau kalah dengan mereka.
Benar seperti yang dijangka, T.I.P. betul-betul marah. Disebabkan oleh itu, kami terpaksa berlatih selama 4 jam, dua kali ganda daripada masa latihan selalunya. “Everyone, keep moving! Don’t stop until I tell you to do so.” Arah T.I.P. Tapi pada pandangan aku, itu bukanlah satu arahan tetapi kata-kata rangsangan untuk terus berlatih. Itulah merupakan salah satu sebab mengapa aku terus berkecimpung dalam bidang ini, kerana kemesraan, sikap mereka yang selalu menyebarkan gelak ketawa dan bersikap tidak prejudis. Mereka terlalu relaks, seolah-olah tiada masalah yang melanda. Bukan seperti rakyat Malaysia yang selalu bersikap panas baran tak tentu hala, bersikap prejudis dan terburu-buru dalam melaksanakan keputusan.
Memang itulah rutin harianku selepas mengambil peperiksaan SPM, menghabiskan masa di kampung kelahiran ayahku di Siam. Di kampung ni, aku ada seorang sepupu, Aiman namanya. Nama penuhnya Muhammad Aiman bin Abdullah. Perbezaan budaya dan taraf hidup tidak membuatkan kami berasa janggal ketika bersama. Malah dialah yang memperkenalkan aku kepada krew breakdancing di sini.
Aku mula jatuh suka pada bidang ini setelah menonton pertunjukan krew mereka di studio sewaktu menemani Aiman ke sana. Namun, sayang sekali aku tidak boleh menyertai mereka kerana aku adalah seorang perempuan. Oleh itu, aku terus menyamar menjadi lelaki untuk menyertai mereka. Dalam kalangan mereka, hanya Aiman sahaja yang mengetahui jantina sebenarku. Namun begitu, aku tidak meraguinya kerana aku amat mempercayainya.
“Jom balik.” Teguran daripada Aiman membuatkan aku terus bangun. Kelihatan dia sedang menyarungkan kemeja T yang dicabutnya sejak berlatih tadi. Melekit dan berpeluh agaknya. Aku hanya menurutnya tanpa banyak soal.
“Keputusan SPM kau dah keluar ke belum?” soal Aiman tiba-tiba serentak memecah kesunyian. Aku memandangnya, serentak pandangan kami bertemu. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan ke jalan. Aku hanya mengangkat bahu. “Entah. Malas nak fikir.” Aku hanya mengangkat bahu. Aiman hanya mampu menggeleng. “Kau ni… itu kan soal masa depan kau?” soalnya dalam nada yang tegas. Aku mendengus perlahan. “Yang kau nak sibuk sangat ni kenapa? Itukan soal masa depan aku, suka hati akulah nak buat apa pun.” Datar aku bersuara. "Hazirah, jangan rosakkan masa depan kau dengan tindakan kau yang mengikut perasaan itu." Perlahan suara Aiman memberi nasihat. Aku kematian kata-kata. Jeda. Sunyi kembali memonopoli perjalanan kami berdua.
AKU tersentak apabila terdengar bunyi bising di belakang. Fatehah sedang menggeliat rupanya. "Dah pukul berapa sekarang ni?" soalnya sambil menggosok mata yang terasa kelat. Tangan dibawa ke mulut menutup kuap. "Adalah dalam nak masuk waktu Asar," balasku sambil memandang jam loceng di atas meja belajar. Telefon bimbit yang tadinya kupegang kubuka kunci pad kekunci. Cekap sahaja tanganku menggunakan pen stylus untuk menukar latar belakang menu telefon bimbit daripada gambar selfie bersama krew kepada gambar selfie aku dan Fatehah di depan Kota Purba di Mesir.
"Rindu diorang ke?" Suara Fatehah terasa berbisik di telinga. Huh? Aku pantas berpusing ke kiri. "Hisy kau ni, nasib baik aku tak melatah lagi." Aku sudah menayangkan muka cengil pada Fatehah. Fatehah yang mendengar hanya ketawa. "Rindu diorang ke?" Sekali lagi dia mengulang pertanyaan yang sama. Aku hanya mengangkat bahu. “Aku tak tahu. Sejujurnya, aku memang rindukan mereka. Tapi macam tak elok saja kalau aku pergi melawat mereka atau menonton persembahan mereka. Kau tak rasa pelik ke?" Aku memandang Fatehah dengan kening yang terangkat. "Kan. Macam tak elok kalau anak dara muslimah pergi tengok showdown," katanya memberi pendapat. Aku ketawa perlahan. Macam lawak aje bunyinya.
"Tapi kan, kenapa kau macam rapat sangat dengan mereka? Bukan mereka tak bagi perempuan masuk ke krew tu? Kau tahu, kau nampak macam terdesak sangat tau sampai kena menyamar untuk menyertai mereka." Fatehah menyambung selamba. Aku hanya mengangkat bahu tanda tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut. "Sebenarnya, aku memang suka sangat pada mentaliti mereka. Cara pemikiran mereka. Bukan maksud aku nak hidup berpaksikan barat sangat, cuma cara pergaulan mereka, cara penerimaan mereka itulah yang membuatkan aku senang berkawan dengan mereka." Melihatkan Fatehah yang terdiam, aku menjadi serba salah.
“Eh, kau dah solat asar ke belum?” soalku cuba mengalih topik. Fatehah yang tadinya terdiam hanya menggeleng. “Jom jemaah,” kataku lalu mencapai tuala untuk mandi.
BUNYI dentingan periuk belanga amat menarik perhatianku. Sebaik sahaja mandi dan bersolat, aku dan Fatehah terus turun ke dapur. Nampaknya kaum hawa sedang sibuk menyiapkan juadah kenduri arwah. Aku menghampiri mereka dan bercangkung di sebelah ibu saudaraku. “Masak apa ni, mak cik?” soalku lalu mengambil papan pemotong yang terdekat. Tanpa menunggu jawapan daripada mak cik, aku terus memotong kacang panjang yang bertimbun itu menjadi pendek. Kalau ikut budaya orang Kelantan selalunya menu untuk kenduri mereka akan buat gulai. Tak kisahlah gulai ayam ke, daging ke, tetapi mesti kena ada gulai. Selalunya gulai tu jenis kerisik. Di samping itu, orang Kelantan selalunya akan makan beras Siam. Mungkin sebab Kelantan itu agak dekat dengan Siam, maka budaya Siam itu ada sedikit tempias dengan budaya orang mereka,
“Masak gulai daging saja. Dekat luar itu adalah orang tengah buat sup pakai belanga. Kalau nak tengok ke, tolong ke, pergilah. Tapi kalau pergi, kena hati-hatilah, ada asap, karang ada orang tu menangis.” Balas Kak Azni sedikit bergurau. Aku tersengih. Saja nak kenakan akulah tu! Dulu, masa orang-orang kampung pakat buat gotong-royong, mereka adalah sikit buat jamuan. Menunya sama sahaja. Disebabkan kerana kebosanan, aku pun pergilah menjenguk sebentar ke dapur kayu tempat orang buat sup pakai periuk belanga. Kebetulan aku tak biasa dengan api, maka air mataku pun menitis. Wassalam aje aku kena gula dengan saudara-mara lain yang kuat menyakat. Tapi aku tak ambil hati pun.
DAH selesai siapkan bahan untuk gulai kerisik, orang-orang tua pun pakat-pakat nak mula masak. Aku dan Fatehah turut menyertai mereka. Tapi kesianlah kat dia, dah macam jakun dah aku tengok. Yalah, dia asal Johor. Orang Johor tak adalah nak bergotong-royong masak untuk kenduri arwah, mengalahkan kenduri kahwin. Entah-entah mereka pakai kater. Kira untunglah di Kelantan ni masih kekal lagi budaya hidup masyarakat tradisional. Aku tersengih sendiri apabila api sudah mula menyala. Bersiap sedialah… “Kau apasal? Cuak semacam je aku tengok? Takut nangis ke?”
Aku meluku kepala Fatehah di sebelah. Fatehah hanya ketawa. Kemudiannya, pandanganku kini beralih kepada periuk belanga sebesar alam di depan mata. Menggelegak isinya bahana api di bawah periuk itu. Yalah, dapur kayu orang tak pakailah dapur gas, orang pakai kayu api. Memang patut pun isinya cepat menggelegak. Aku memandang Fatehah yang nampaknya sibuk mengacau isi sup tulang di dalam belanga itu. Kebetulan ada sepupu arwah mak aku tolong menjaga,maka dia pun bagilah Si Fatehah ni rasa sup tulang percuma.
“Sedap tak?” Soalku memandangnya sambil menguis-kuis bara api. Dia hanya mengangguk. “Superb. Kau nak rasa?” soalnya sambil memandangku. Dia mengalihkan pandangannya pula pada Mak Yah, sepupu arwah mak aku. “Terima kasih, Mak Yah, ni pertama kali saya rasa sup tulang versi tradisional. Dekat Johor, tak ada pun sup yang dimasak macam ni,” ujarnya lalu meletakkan mangkuk kosong di atas bangku kayu. Tak bagi disepak orang, karang naya. Aku menggeleng menjawab pertanyaannya.
ANGIN bepuput lembut. Aku bersandar di muka pintu. Tiba-tiba pula rindu akan arwah mak dan ayahku. Serta-merta birai mata terasa hangat mengenangkan mereka. Tak semena-mena, air mataku menitis laju. Terbayang peristiwa lalu…
AKU mengipas mukaku dengan tangan. Mak oi! Panasnya cuaca hari ni! Pengumuman di radio pagi tadi mengatakan yang cuaca hari ini ialah 42 darjah celcius! Memang gila, tambah lagi dalam keadaan panas yang tahap membakar macam ni, kena pergi kuliah. Aku mendengus perlahan. Sambil membawa buku seberat lima kilogram, aku berjalan di kaki lima. Mahasiswa yang lain nampaknya sedang berlegar-legar di jalan. Mencari masjid agaknya. Zuhur dah nak masuk, aku pun tak solat lagi. Ala, boleh saja solat di bilik nanti! Langkah kuatur makin laju. Mengejar masa.
SEBAIK sahaja menutup pintu kamar, aku mencabut purdah dan jilbab. Teman serumah lain masih belum pulang, singgah ke kedai buku agaknya. Biasalah, musim-musim nak dekat periksa ini, mana lagi tempat yang nak dituju selain universiti dengan perpustakaan kalau bukan kedai buku. Tetapi selalunya mereka jarang melepak mengulangkaji di perpustakaan dan lebih selesa lepak di rumah sahaja, mungkin sebab untuk mengelakkan berlakunya maksiat. Sejujurnya, aku pun tak berapa faham apa yang dimaksudkan oleh mereka tentang maksiat. Yalah, di Malaysia selalu saja aku melihat situasi lelaki dan wanita duduk di meja yang sama di dalam perpustakaan.
KEDENGARAN bunyi pintu dikuak sewaktu aku sedang menyiapkan tesis. Wajah Fatehah terjengul di balik pintu. Aku mengangkat kening bertanya. “Teman serumah panggil, makan.” Pendek dia menjawab sebelum menghilangkan diri. Aku bangun dari kerusi meja komputer. Langkah kuatur menuju ke dapur.
WAKTU Asar berlalu, dan pergi. Aku melipat telekung yang kupakai tadi semasa berjemaah. “Oh ya, aku lupa. Tadi mak kau kirim sesuatu. Aku letak tepi katil kau kalau kau nak bukak pun.” Suara yang bersuara memecah keheningan kami berdua. Jeda. Sepi. “Kau kenapa?” soal Fatehah mengambil berat apabila mengesan perubahan wajahku. “Tak ada apapun.” Pantas aku menggeleng. “Kau jangan berbohong. Aku bukannya baru kenal dengan kau semalam. Kita ni nak periksa lagi berapa minggu lagi. Kalau kau simpan sorang-sorang, nanti boleh teruk tumor otak kau itu.” Dia cuba memujukku lagi. Aku sengih. “Dilema.” Pendek aku menjawab, menahan sebak di dada.
Mungkin bahana aku membaca berita kematian ayah tadi? Anak mana yang tak sedih apabila ayahnya dah tiada. Apatah lagi aku dibesarkan olehnya setelah ayah bersara. Waktu itu, ibuku jarang meluangkan masa denganku kerana sibuk bekerja. Pelik, bukan? Kalau keluarga lain, ayah sibuk bekerja, ibu pula mendidik anak di rumah. Kes aku ini pula terbalik. Sewaktu aku berada di hospital akibat hentakan yang kuat dan hilang ingatan itupun, ayahlah yang menemaniku, menjagaku, pagi-petang siang-malam. Ayahlah yang bangga apabila mendengar buah mulut mengenaiku. Ayah meninggal kerana jangkitan kuman pada paru-paru dengan demam denggi berdarah. Siang tadi, di hospital.
“Dilema apa pula ni…” Fatehah menggosok-gosok bahuku. Aku menyandarkan kepalaku ke bahunya. “Konflik kepentingan.” Pendek aku menjawab. “Kau konflik apa?” soal Fatehah. “Aku jahil, Tehah,” luahku pendek. Fatehah yang tadinya memujuk jadi keliru. Dia memandang anak mataku, cuba mencari kejujuran di sebalik mata itu. Aku mengangguk tanda tidak berbohong. “Sebelum aku dapat keputusan SPM dulu, aku dah hampir murtad. Solat, dengan segala benda kewajipan lain semuanya memang dah macam angin lalu.Dulu, masa aku banyak dihabiskan dengan Aiman. Tapi kira okaylah sebab aku tak buat benda bukan-bukan macam minum arak dan yang seumpama dengannya. Sekurang-kurangnya benda itu masih terjaga.”
“Lepas aku dapat keputusan SPM, semua A+, aku dapat tawaran belajar ke sini, dengan USIM. Masa itu aku memang tak tahu nak pilih yang mana. Kemudian Aiman usulkan supaya aku ambil tawaran untuk belajar di sini. Sebab, dia nak aku berubah. Dia suruh aku berubah untuk dia, sebab mula-mula dia kata nak berubah, cuma tak mampu sebab dia tidak diberi peluang. Tapi alhamdulillah jugalah, sebab Allah sempat ketuk pintu hati aku untuk berubah.” Air mata yang tadi kering, bertakung semula. “Tapi aku tolak, sebab masa itu, mak dengan ayah aku dua-dua sakit. Lagipun, aku tak percayakan diri aku bila duduk dekat tempat orang sebab aku ada tumor otak. Tapi kau tahu dia kata apa? Dia kata kalau aku duduk sini, aku akan berubah sebab boleh belajar benda baharu. Dia kalau nak jadi masyarakat Malaysia yang sebenarnya, kena duduk di tempat orang, baru ada usaha nak majukan diri. Kalau tidak, asyik mundur saja macam sekarang. Kau pun tahukan, yang aku tak suka mentaliti masyarakat Malaysia, tak ada jati diri langsung.” Aku mencebik tanpa sedar. “Apa yang orang buat, semua nak ikut. Warnakan rambut, fesyen, materialistik dan selalu berhasad dengki,” aku mengutuk tanpa sedar.
Fatehah yang mendengar menepuk belakang badanku kuat. “Kau ini… kut ya pun tak suka masyarakat Malaysia, tak perlulah nak mengutuk sampai macam itu. Gaya macamlah diorang yang dengar,” bebel Fatehah. “Tapi kau menangis sebab apa, sebenarnya? Takkan sebab itu kut?” soalnya menyuruh aku menyambung. “Bila aku sampai sini, aku belajar benda baharu. betul apa yang Aiman cakap. Tapi masa aku dah sampai Kaeng untuk jumpa Aiman...dia dah…” Mata kembali beranak sungai dengan air mata. Telinga sempat mendengar suara Fatehah mengucap kalimah innalillah.
“Kemudian tumor otak aku bertambah teruk. Tiga bulan aku terlantar di hospital. Masa aku nazak, aku nampak ahli keluarga aku semua menangis. Aku sedar aku dah banyak menyusahkan mereka. Mereka semua mengharapkan aku. Masa tu aku dah terbayang-bayang wajah bengis malaikat maut datang menjemput. Jadi aku berdoa, kalau aku ditakdirkan boleh sembuh aku bertekad untuk berubah dan mengubah mentaliti masyarakat Malaysia yang dah berkarat sebab dibutakan oleh budaya dan hiburan agaknya.” Fatehah mengangguk mengiyakan. “Banyak benda lain lagi yang boleh diikut. Okaylah, aku doakan kau berjaya. Jom, sambung buat kerja. Kata nak jadi masyarakat Malaysia yang maju.” Aku ketawa tawar lalu mengekori langkahnya. Mengorak langkah baru.
BIRAI mata yang tadinya bertakung aku kesat dengan belakang telapak tangan. Sentuhan lembut di bahu membuatkan aku pantas menoleh. Bibir mengukir senyuman tawar apabila memandang wajah kakak. Pantas aku memeluknya erat, cuba mengumpul kekuatan. “Masih teringatkan arwah ke?” soalnya setelah meleraikan pelukan. Aku hanya mengangguk. “Tapi yang paling benarnya apabila teringat akan kisah silam,” aku menyambung perlahan. Kakak hanya menyeka air mataku dengan ibu jarinya. “Yang sudah tu, sudahlah. Sekarang ini, kakak bersyukur sangat sebab Hazirah dah berubah.” Dia menggosok belakangku. Kami sama-sama duduk di atas tangga. Rutin biasa sejak dulu, dan kini kami sudah besar. Membesar bersama masa dan usia. Betul kata Fatehah dan kakak. Yang lepas itu, biarkan. Yang masih ada ini kena teruskan hidup. Kalau ditakdirkan mati sebelum habis belajar, agak-agak perlu tak rasa terkilan? Tak, sebab Allah bukannya tanya pasal itu pun dalam kubur. Akan sampai satu masa nanti, dimana duit, rupa, sijil dan segala statistik ukuran Malaysia tu akan jadi macam debu. Banyak benda lain lagi yang boleh diikut.
Terima kasih, Aiman kerana menyuruh saya untuk berubah. Terima kasih , Fatehah kerana sudi mendengar segala keluh kesah dan menerima diri ini dengan hati yang terbuka. Terima kasih, arwah mak dan ayah kerana melahirkan dan menjaga Hazirah sampai sudah dewasa ini. Walau diri ini sudah kurasakan dewasa, tetapi diri ini akan cuba belajar mengenal diri dan berubah menujuNya. “Tapi kesianlah dekat rakyat Malaysia yang lain kan? Sebab hidup asyik nak berpaksikan barat saja.” Aku bersuara lalu melentokkan kepala ke bahu kakakku, manja. “Sebab itulah kita perlukan orang yang macam adik kakak ini untuk mengubah mentaliti masyarakat kita.” Betul. Ya Allah, terima kasih kerana memberi diri ini peluang, peluang untuk mengenalMu. Peluang untuk menetapkan hala tuju hidup. Alhamdulillah.