Hakikat Ihsan
Ihsan yang disebutkan Rasulullah SAW itu bermakna muraqabah dan berbuat ketaatan. Oleh sebab itu, orang yang sentiasa merasa diawasi oleh Allah SWT, dia selalu memperbaiki amalnya. Barangkali itulah pentafsiran daripada firmat Allah SWT yang berikut ini, "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan)." (An-Nahl [16]: 90)
- Perbezaan antara ihsan dengan in'am (memberi nikmat atau mensejahterakan) adalah ihsan akan dirasakan pelakunya dan orang lain, sedangkan in'am hanya akan dirasakan orang lain.
Antara Kebaikan (Hasanah) dan Berbuat Baik (Ihsan).
- Fairuz Abadi mengatakan bahawa hasanah (kebaikan) adalah istilah yang biasa digunakan untuk mengungkap segala sesuatu yang dapat membahagiakan, seperti nikmat yang diperoleh seseorang dalam jiwa dan jasadnya. Berkaitan dengan hasanah, Allah SWT berfirman, "Jika mereka memperoleh kebaikan mereka mengatakan, 'Ini dari sisi Allah'" (An-Nisa' [4]: 78)
Kebaikan (hasanah) di dalam ayat ini bererti kesuburan, kelapangan hidup, dan keberuntungan.
- Adapun ihsan (berbuat baik) biasa digunakan dalam dua pengertian. Pertama, membantu atau mensejahterakan orang lain. Kedua, memperbaiki perbuatan dan amalan. Hal ini selaras dengan perkataan Ali RA, "Manusia itu keturunan perbuatan baik mereka." Maksud daripada ucapan Ali RA, itu bahawa semua manusia dinisbahkan pada apa yang mereka ketahui dan mereka lakukan.
- Hubungan antara hasanah dan ihsan sangatlah jelas. Sesiapa sahaja yang bersikap ihsan kepada dirinya sendiri dengan memurnikan tauhid dan ibadah, serta bersikap ihsan kepada orang lain baik ketika berkata mahupun bertindak, semua itu akan membuahkan kebaikan untuknya, iaitu syurga. Jadi, hasanah dan ihsan diambil daripada perkataan al-ihsan yang membuat seorang hamba berbahagia selama dia menghiasi dirinya dengan ihsan baik di dunia mahupun di akhirat.
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan