Orang-orang yang Didoakan Nabi SAW untuk Memperoleh Rahmat.
1. Nabi SAW mendoakan orang-orang yang melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum solat Asar. Rasulullah SAW bersabda; "Semoga Allah merahmati seseorang yang melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum Asar." (HR Abu Daud; Hadis Hasan)
2. Orang yang rajin melakukan qiyamullail dengan solat dan munajat kepada Tuhannya. Orang yang juga membangunkan isteri atau suaminya untuk turut serta solat malam dan memohon keampunan dan rahmat Allah SWT agar turut merasakan doa Nabi SAW dalam sabda Baginda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada kepada seorang lelaki yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat dan membangunkan isterinya agar turut melaksanakan solat. Jika isteri tidak mahu bangun, dia memercikkan air di wajahnya. Semoga Allah juga menurunkan rahmatNya kepada seorang perempuan yang bangun di tengah malam lalu melaksanakan solat dan membangunkan suaminya agar turut melaksanakan solat malam. Jika suami tidak mahu bangun, dia memercikkan air di wajahnya." (HR Abu Daud; Hadis Sahih)
3. Nabi SAW mendoakan orang yang memiliki sifat tolak ansur. Nabi SAW bersabda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada seseorang yang jujur ketika berjalan, jujur ketika membeli, dan jujur ketika menuntut haknya." (HR Al-Bukhari; Hadis Sahih)
4. Nabi SAW mendoakan orang yang menjaga lisannya dan memanfaatkan lisannya hanya untuk kebaikan. Rasulullah SAW bersabda, "Semoga Allah menurunkan rahmatNya kepada seorang hamba yang jika berbicara, dia mengandungi banyak pahala dan jika diam, dia selamat (dari murka Allah)." (HR Abu Syeikh; Hadis Hasan)
Hanya Orang Sengsara yang Tidak Memiliki Rasa Kasih Sayang.
Nabi SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut, kecuali daripada orang yang sengsara." (HR Abu Daud; Hadis Hasan)
At-Tubbi menjelaskan hadis ini dengan berkata, "Hal ini disebabkan kasih sayang berasal daripada hati yang lembut. Hati yang lembut merupakan tanda keimanan. Barang siapa yang tidak memiliki kelembutan hati maka dia tidak beriman dan barang siapa yang tidak memiliki iman maka dia sengsara." Jadi, kesimpulannya ialah orang yang tidak memiliki kelembutan maka dia sengsara.
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan