Tingkatan Ihsan.
Menurut Ibnu Qayyim, ihsan itu memiliki tiga tingkatan:
- Ihsan ketika berniat, iaitu dengan cara meluruskan niat sesuai ilmunya, mengukuhkan dengan kemantapan hati, dan memurnikannya saat itu juga.
- Ihsan dalam keadaan apa pun, iaitu berupaya agar semangat berihsan tetap terpelihara, selalu menyala, dan memperbaharuinya sebagai suatu pengukuhan jalan hidup. Adapun yang dimaksudkan dengan pemeliharaan ihsan, iaitu menjaga ihsan tetap ada dalam diri seorang Mukmin dan tidak mengubahnya kerana ihsan dalam keadaan apapun dapat lalu begitu sahaja layaknya awan berjalan. Dan pemeliharaan ihsan tersebut harus dilakukan secara terus-menerus dan tidak boleh terlupa walau sejenak pun.
- Ihsan dalam memanfaatkan waktu, iaitu dengan tidak kehilangan kesempatan sedetik pun untuk bermusyahadah dan tanpa ada seorang pun yang mengusik. Ertinya, konsentrasi kita harus ditumpukan kepada Allah SWT sahaja dan tidak boleh ditumpukan kepada sesuatu yang lain.
Kedudukan Ihsan.
Kedudukan ihsan ini adalah inti, roh, kesempurnaan keimanan, dan mencakupi seluruh kedudukan. Salah satu yang menguatkan kedudukan ini ialah firman Allah, "Tidak ada balasan untuk kebaikan (ihsan) selain selain kebaikan (ihsan pula)." (Ar-Rahman [55]: 60)
Menurut Ibnu Abbas dan Ulamak tafsir, maksud kebaikan (ihsan) yang pertama pada ayat di atas adalah mengucapkan kalimah tauhid, iaitu Laa Ilaaha Illallah. Kebaikan (ihsan) yang kedua, maksudnya adalah syurga Allah SWT.
Sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca ayat tersebut, lalu bersabda,
'Apakah kamu tahu apa yang difirmankan oleh Tuhan kamu?'
Para sahabat lalu menjawab, 'Allah SWT dan rasulNya yang lebih mengetahui.' Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan kepada sahabat apa yang difirmankan oleh Allah SWT pada ayat di atas, 'Apakah ada balasan bagi orang yang telah Aku beri nikmat kepadanya dengan nikmat tauhid, selain balasan syurga?'
Hadis mengandungi isyarat kesempurnaan rasa kebersamaan dengan Allah SWT, muraqabahNya, rasa cinta kepadaNya, pengenalan terhadap zatNya, taubat kepadaNya, dan ikhlas keranaNya dalam melaksanakan seluruh amalan keimanan.
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan