Tabiat Merokok dalam Kalangan Pelajar
Merokok? Merokok merupakan satu perlakuan yang acap kali dikatakan bertentangan dengan undang-undang, malah salah juga di sisi agama kerana perlakuan ini boleh membawa penyakit yang menyebabkan kematian, misalnya kanser dan sebagainya. Tahukah anda, bahawa asap rokok yang dihidu oleh orang yang terdekat lebih berbahaya berbanding dengan perokok itu sendiri? Mungkin sebab itulah kerajaan dengan kerjasama media massa seringkali mengeluarkan iklan di televisyen ataupun yang berbentuk papan tanda di sekitar kawasan lebuh raya mahupun mengedarkan risalah di sekitar kawasan perumahan.
Namun begitu, merokok kini sudah menjadi tabiat terutama sekali bagi kaum adam, dan yang paling saya risaukan sekali adalah kaum hawa iaitu kaum saya sendiri sudah mula menjinak-jinakkan diri terhadap tabiat ini. Tidak dinafikan, majoriti daripada mereka terdiri daripada golongan pelajar.
Walau bagaimanapun, saya ingin mengulas dengan lebih lanjut mengenai tabiat merokok dalam kalangan pelajar, memandangkan itu adalah tajuk esei saya. Di sekolah, kita sering mendengar keluhan yang terbit dari mulut guru-guru mengenangkan kes merokok di sekolah mereka semakin meningkat
Sungguhpun begitu, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan para pelajar atas sebab kes itu berpunca daripada mereka. Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa pelajar yang merokok itu betul tetapi tidak adillah sekiranya kita terus-terusan menyisihkan atau mencaci pelajar hanya disebabkan kesalahan merokok yang dilakukan.
Sebelum saya mengulas lebih lanjut tentang tindakan yang sewajarnya diambil, izinkan saya menyatakan punca-punca yang menyebabkan pelajar itu merokok. Antaranya ialah tekanan yang dihadapi di sekolah. Antara tekanan yang selalu dihadapi oleh pelajar ialah tekanan peperiksaan, masalah peribadi dan baru-baru ini tekanan disebabkan sistem PBS. Pelajar yang menghadapi tekanan di sekolah tidak akan menceritakan tekanan itu kepada orang tua mereka kerana bimbang mengenai tindakan yang diambil.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga boleh dijadikan punca mengapa pelajar merokok. Sebenarnya, pelajar yang baik seringkali dipandang hina oleh pelajar yang lain. Ini mungkin kerana sifat dengki terhadap pelajar tersebut kerana selalu dihebah-hebahkan kehebatannya oleh guru-guru seolah-olah ingin mencari populariti di sekolah. Mungkin disebabkan itu, pelajar mula berjinak-jinak melakukan kegiatan jenayah termasuk merokok kerana ingin didampingi oleh rakan-rakan sebaya di sekolah.
Di samping itu, punca pelajar merokok juga ialah masalah yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Menjadi lumrah manusia, mempunyai masalah. Maksud saya, keluarga mana yang tidak ada masalah? Jika dilihat pada konteks Islam, Tuhan Azza Wajalla menurunkan masalah untuk menguji jauh mana kemampuan kita dalam menyelesaikannya. Yang menjadi masalahnya sekarang ialah kita selalu melarikan diri daripada masalah tersebut dan menyalahkan Tuhan kerana memberi masalah kepada kita. Siapa kita untuk menyalahkan Tuhan?
Jika dikaji kembali, tabiat merokok dalam kalangan pelajar semuanya berpunca daripada tekanan. Lantaran itu, para pelajar sendiri juga perlu mengambil tindakan yang sepatutnya dengan membuang sifat mazmumah seperti hasad dengki dan sikap lepas tangan yang ada dalam diri. Amalkanlah sifat mahmudah yang dituntut dalam Islam bahkan agama lain juga menuntut kita mengamalkan sifat tersebut, tamsilnya sifat ingin bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dan bijak dalam menyelesaikan masalah bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Insyirah; “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaan kamu) bahawa tiap-tiap kesukaran itu diselangi dengan kemudahan.”
Sementara itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam mencegah tabiat yang tidak elok ini. Ibu bapa haruslah memberi pendididkan agama yang sempurna untuk anak-anak serta mengambil tahu setiap pergerakan dan perlakuan anak-anak bukannya mengongkong anak-anak. Benar, anak-anak perlukan kebebasan, tetapi biarlah kebebasan itu terhad. Sentiasalah berkomunikasi dengan anak-anak dengan penuh kasih sayang supaya anak-anak berasa selesa di rumah dan selesa berkongsi masalah dengan kita. Selalulah berbincang dengan anak-anak jika hendak mengambil keputusan yang melibatkan mereka. Anak mana yang tidak akan marah atau merajuk dengan orang tuanya sekiranya mereka membuat keputusan membelakanginya. Jangan sesekali melepaskan amarah atau melepaskan tekanan kerja pada anak-anak di rumah. Bayangkan, apa perasaan anak-anak kita apabila kita memaki hamun mereka atau mengamuk di hadapan mereka hanyalah kerana perniagaan saham merosot?
Guru-guru juga boleh mengambil inisiatif yang sama iaitu mengadakan aktiviti kerohanian misalnya kem ibadah atau memberi ceramah motivasi di sekolah. Komunikasi juga amat penting antara guru-guru dengan pelajar kerana ada pelajar yang gerun dengan sebilangan guru hanyalah kerana sifat panas baran mereka. Tegurlah pelajar dengan berhemah sekiranya dia melakukan kesalahan kerana Nabi SAW tidak pernah menjerkah kaum kafir yang mendustakan ayat baginda, walhal baginda tidak jemu memujuk dan mengajak kaum kafir agar menganuti agama Islam dengan penuh bersopan sekali. Maksud saya bukanlah berlembut dengan pelajar, tetapi tegas dan pada masa yang sama berhemah. Sekiranya guru-guru sendiri menunjukkan sikap yang tidak elok, bagaimanakah para pelajar ingin mencontohi mereka?
Maka jelaslah sudah siapa yang bersalah dalam hal ini. Bukannya saya ingin mengatakan bahawa ibu bapa dan guru-guru yang bersalah kerana menjadi punca tekanan, tetapi ketahuilah bahawa sebiji epal yang rosak adalah berpunca daripada pokoknya dan sikap tuannya. Masakan kita hendak berkata sebiji epal rosak kerana dirinya sebab epal itu datang dari pokoknya dan dijaga oleh tuannya, samalah juga dengan pelajar. Mana mungkin kita hendak menyalahkan pelajar hanyalah kerana kesalahan yang mereka lakukan, sedangkan yang membesarkan anak-anak itu ialah ibu bapa dan yang mendidik pelajar itu ialah guru-guru.
Pada pandangan saya, Malaysia boleh setanding dengan negara-negara kuasa besar sekiranya kita sebagai rakyat menjauhi tabiat merokok ini. Jika kita lihat, merokok itu bukanlah suatu cara yang baik untuk melepaskan tekanan malah menambah lagi masalah kerana merokok itu banyak implikasinya termasuklah boleh membawa pelbagai penyakit yang merbahaya dan membuatkan duit kita melayang. Cuba kita renung kembali, berapa ribu telah kita bazirkan hanyalah kerana sebatang rokok yang tidak berguna dan berapa ribu wang yang telah kita gunakan untuk membayar kos perubatan kanser paru-paru yang berpunca daripada asap sebatang rokok? Cuba kita fikirkan, dengan duit yang mencecah ribuan itu kita boleh selamatkan orang yang miskin di negara kita dan sekaligus membela nasib mereka. Mana sifat bijaksana yang kita agung-agungkan selama ini? Perumpamaan yang boleh kita samakan dengan sikap ini ialah laksana keldai yang membawa sejumlah buku yang banyak di belakang badan mereka.
Di sini saya ingin tegaskan bahawa kitalah yang menetukan siapa kita sama ada mahu menjadi insan yang baik. Justeru, marilah kita sama-sama menghentikan tabiat ini dan berusahalah kerana Allah tidak tengok natijah, tetapi Dia melihat sejauh mana usaha kita.