Tinta dri admin~
Disclaimer:
Segala posts yang ditulis di dalam ini adalah fictional dan tidak ada kaitan dgn yg hidup atau yg sudah mati. (Well, maybe some do) Everything that were being posted by admin are pretty much my own ideas, and what's going on in my head. (Even if it's unoriginal, admin akan credits the respective owner) So, perbuatan copy paste tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan sama sekali
Selasa, 24 Disember 2019
Kisah Para Nabi (Kisah Nabi Adam AS) #2
Firman Allah SWT;
"Apa yang menghalangi kamu dari bersujud ketika Aku perintahkan kepadamu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya. Engkau menciptakan aku dari api sedang Engkau menciptakannya dari tanah."
Hasan Al Basri mengatakan bahawa di situ Iblis membuat perbandingan. Muhammad bin Sirin mengatakan bahawa Iblis ialah makhluk pertama yang melakukan perbandingan.
Maksud ucapan itu ialah, Iblis memandang dirinya jauh lebih utama berbanding Adam AS, kerana dia menolak bersujud kepadanya, sekalipun perintah bersujud bersama para malaikat yang lain. Perbandingan itu tidak benar. Tanah itu lebih bermanfaat dan lebih baik berbanding api kerana di dalam unsur tanah terdapat sifat konsistensi, santun, perlahan-lahan dan zat pertumbuhan. Berbeza dengan api, di dalamnya mengandungi unsur kurang akal, ringan, tergesa-gesa dan membakar.
Firman Allah SWT,
"Ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan mendapatkan seirang manusia dari tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang akan dibentuk. Maka setelah Aku menyempurnakan kejadiannya dan telah ditiupkan kepadanya sebahagian rohKu, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud."
Maka semua malaikat bersujud kepadanya, kecuali iblis. Dia menolak bersujud bersama para malaikat. Allah SWT berfirman: "Kenapa kamu tidak ikut bersujud bersama-sama mereka?" Iblis menjawab: "Aku sekali-kali tidak akan bersujud (menghormati) kepada manusia yang telah Engkau ciptakan dari tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam Yang dibentukkan." Allah SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari syurga! Kamu terkutuk sekali. Kutukan itu tetap berlaku bagimu hingga kiamat." Sebab Iblis berani menyampaikan kekurangan atas diri Adam AS bahkan menghinanya. Sedangkan Allah SWT memberi kedudukan yang tinggi kepadanya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Berambuslah! Sesiapa dari mereka yang mengikutimu, maka neraka Jahannamlah yang patut menjadi balasan bagi kamu semua. Itulah balasan setimpal. Silalah engkau menghasut siapa saja yang engkau mampu dari mereka dengan ajakanmu. Silalah engkau mengerahkan pasukanmu yang berkuda atau yang berjalan kaki untuk menarik mereka, bersekutulah dengan mereka melibatkan harta dan anak-anak (mereka) dan berilah janji kepada mereka. Janji yang dikemukakan syaitan tidak lain kecuali penipuan belaka. Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang taat), kamu tidak dapat berbuat apa-apa kepada mereka dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga."
Dalam Surah Al-Kahfi, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam." Maka mereka segera bersujud kecuali Iblis. Dia termasuk golongan jin. Dia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu menjadikan dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku?"
Ertinya dia sengaja lari dari perintah mentaati Allah SWT, menentangNya dan bersikap sombong terhadap perintahNya. Hal ini tidak akan terjadi kecuali kerana Iblis. Tabiat iblis memang berkhianat dan zat penciptaannya dibuat dari bahan berkualiti rendah. Dia adalah makhluk yang dicipta daripada api.
Hasan Al-Basri mengatakan Iblis bukanlah termasuk dalam golongan malaikat. Syahir bin Khausyab mengatakan Iblis termasuk golongan jin. Ketika mereka melakukan kerosakan di muka Bumi, Allah SWT mengirim malaikat untuk menggempur mereka. Akhirnya mereka dibuang ke sebuah pulau, Iblis sendiri dalam peristiwa itu termasuk golongan yang ditawan. Kemudian Iblis dibawa malaikat tinggal di langit dan tinggal di sana. Apabila malaikat diperintahkan oleh Allah SWT untuk sujud kepada Adam, dia (Iblis) menolak.
Ibnu Mas'ud Ibnu Abbas, sebahagian dari golongan sahabat dan Sa'id bin Musayab mengatakan bahawa (asalnya) Iblis adalah pemimpin malaikat yang tinggal di langit dunia. Ibnu Abbas berkata nama sebenar Iblis adalah Azazil. Dalam riwayat lain daripadanya, iblis dikatakan bernama al-Haris. An-Nuqasiy mengatakan bahawa nama panggilannya adalah Abu Kardus. Ibnu Abbas mengatakan bahawa di antara malaikat, ada yang bernama al-Jin. Mereka bertugas menjaga syurga. Asalnya dia termasuk makhluk yang paling mulia di antara mereka, paling banyak ilmu dan paling rajin beribadah. Dia mempunyai empat sayap tetapi kemudian Allah SWT mengubahnya menjadi iblis yang terkutuk.
Dalam Surah Al-A'raf, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Iblis berkata: "Kerana Engkau telah menghukum aku sebagai tersesat, pasti aku akan menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Aku akan mendatangi mereka dari arah depan dan belakang mereka. Dari arah kanan dan kiri mereka. Engkau tidak akan mendapati sebahagian besar dari mereka bersyukur."
(Surah Al-A'raf: 16-17)
Maksudnya, lantaran Engkau (Tuhan) menjadikan diriku tersesat, pastilah aku akan menghalangi mereka dari jalan yang benar. Aku akan mendatangi mereka dari segala arah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Sabirah bin Abu al-Fakih, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mendatangi manusia tanpa bicara." Riwayat serupa dikemukan oleh An-Nasa'i.
Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai para malaikat yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk bersujud kepada Adam. Apakah mereka meliputi seluruh malaikat seperti yang ditunjukkan oleh umumnya ayat al-Quran? Jawapan itulah seperti yang diyakini jumhur ulama atau yang dimaksudkan para malaikat itu, adakah malaikat yang bertugas di Bumi? Itu sebagaimana yang diyakini oleh Ibnu Jarir dari saluran adh-Dhahak dari Ibnu Abbas. Di situ memang terputus penjelasannya. Sebahagian ulama mutakhirin membenarkannya tetapi yang lebih kuat adalah pendapat pertama.
Terdapat juga firman Allah SWT yang ditujukan kepada iblis dalam ayat yang bermaksud: "Turunlah kamu dari syurga." Menunjukkan bahawa ketika itu iblis berada di kawasan langit. Allah SWT memerintahkannya turun dari tempat itu. Dia keluar dari syurga di mana tempat itu pada asalnya dia peroleh melalui peribadatan kepadaNya. Dalam menjalani ketaatan dan ibadah yang dilakukan, iblis asalnya menyerupai malaikat. Dalam perjalanannya kemudian, segala ketaatan dan ibadahnya hancur dan hapus hanya disebabkan oleh kesombongan, kedengkian dan penentangannya kepada perintah Allah SWT. Akhirnya dia turun ke Bumi dalam keadaan terhina dan terusir.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan