Bentuk Kasih Sayang Rasulullah SAW. (Kepada UmatNya)
(Perhatian: Ini hanyalah beberapa contoh shj)
1. Ubay bin Ka'ab menyebutkan bahawa Abu Hurairah RA amat senang untuk bertanyakan sesuatu yang belum pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW. Abu Hurairah berkata; "Wahai Rasulullah SAW, Apa peristiwa pertama yang Engkau alami ketika diangkat menjadi Rasul?"
Baginda menjawab; "Sesungguhnya ini adalah sebuah pertanyaan, wahai Abu Hurairah. Aku pernah mengalaminya ketika Aku masih berumur sepuluh tahun lebih beberapa bulan. Aku mendengar dua orang saling bercakap-cakap di atas kepalaKu. Salah seorang berkata kepada seorang yang lain, 'Apakah orang ini (yang kita cari)?' Orang yang ditanya menjawab, 'Ya, benar.' Mereka kemudian menemuiKu dengan (menampakkan) wajah dan jiwa yang tidak pernah Aku lihat sebelumnya kepada makhluk yang lain. Kedua-duanya berjalan mendekati Aku, lalu salah seorang daripada mereka menyentuh tanganKu dengan sentuhan yang tidak pernah Aku alami sebelumnya. Salah seorang yang lain berkata kepadanya, 'Baringkanlah Dia.'
Kedua-duanya kemudian membaringkan Aku dengan halus dan sama sekali tidak kasar. Salah seorang daripada mereka berkata, 'Belahlah dadanya.' Orang yang satu lagi pun mendekati Aku dan membelah dadaKu tanpa titisan darah ataupun rasa sakit. Temannya berkata, 'Keluarkanlah (sifat) benci dan dengki.' Dia pun mengeluarkan sesuatu seperti segumpal darah dan membuangnya. Temannya berkata lagi, 'dengan kasih sayang dan kebaikan.' Dia pun memasukkan sesuatu seperti perak.
Dia kemudian menghampiri kaki kananKu dan berkata, 'Pergilah Kamu.' Aku pun meninggalkan mereka dan menjadi lemah-lembut terhadap anak kecil dan sangat santun terhadap orang yang lebih tua."
Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana Muhammad SAW adalah seorang Nabi pembawa kasih sayang.
2. Baginda khuatir jika umat Baginda menyukarkan kesulitan. Rasulullah SAW bersabda; "Jika Aku tidak khuatir akan mempersulit umatKu tentu Aku akan mewajibkan bersiwak setiap kali berwuduk dan (mewajibkan) melaksanakan solat Isyak pada tengah malam. (HR Ahmad; Hadis Sahih).
3. Rasulullah SAW bersabda; "Ketika Aku baru sahaja memulai solat dan berniat akan memanjangkannya, aku mendengar tangisan anak kecil. Aku pun mengurangkan niatKu dan memendekkan solat kerana Aku turut merasakan perasaan ibu yang mendengar tangisan anaknya itu." (HR Bukhari dan Muslim).
4. Nabi Muhammad berpesan kepada para orang tua untuk mempermudah pernikahan putera dan puteri mereka. Baginda bersabda; "Sebaik-baik nikah adalah yang paling mudah." (HR Abu Daud; Hadis Sahih)
Hadis ini menggambarkan betapa besar kasih sayang Nabi SAW terhadap umat Baginda. Kerana itu Baginda ingin mempermudah hal-hal yang baik bagi para pemuda dan pemudi Muslim. Hal ini kerana apabila mahar pernikahan mahal dan sistem pernikahan yang sukar, hal itu akan berimpak buruk bagi umat sendiri. Bahkan, hal itu akan menjadi penyebab perbuatan keji dan haram di tengah-tengah masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda; "Di antara tanda keberkatan (kebaikan) seorang wanita adalah memudahkan proses lamaran, tidak membebankan mahar di luar kemampuan, dan mudah melahirkan (cepat hamil dan banyak menghasilkan keturunan)." (HR Ahmad; Hadis Hasan)
Urwah berkata, "Aku sendiri - murni dari diriku dan bukan daripada Nabi - akan mengatakan bahawa tanda awal keburukan wanita adalah menikahinya dengan mahar tinggi."
5. Nabi SAW tidak hanya menginginkan kemudahan bagi para pemuda dan pemudi, tetapi dalam skala yang lebih besar, kita dapat melihat Nabi Muhammad SAW sangat menyayangi seluruh umatNya. Hal ini terbukti dengan doa mustajab yang Baginda simpan untuk dapat dipergunakan pada suatu hari nanti, sebagaimana sabda Baginda; "Setiap Nabi dikurniai satu doa mustajab. Mereka semua menggunakannya semasa mereka di dunia. Hanya Aku yang menyimpan dia tersebut agar dapat dijadikan sebagai syafaat bagi umatKu pada hari Kiamat. Syafaat ini - dengan izin Allah - dapat menolong umatKu yang meninggal dunia dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun." (HR Muslim; Hadis Sahih).
Sumber: Ensiklopedia Akhlak Muhammad/Mausu'ah min Akhlaq ar-Rasul
(Mahmud Al-Misri/Yahya Nuriadi, 2018, Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd./Dar at-Taqwa, Kaherah, Mesir)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan